About Me

My photo
Semenyih, Selangor, Malaysia

Friday 6 May 2011

HAK ASASI KANAK-KANAK

Hak Asasi Kanak-kanak Berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak 1989


Pengenalan

Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) telah dibentang Dalam Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke 44 pada 20 Nov. 1989 dan diterimapakai. 

Hak Asasi Kanak-Kanak

Hak boleh didefinasikan sebagai sesuatu yang adil dan saksama yang boleh dimiliki atau dilakukan oleh seseorang. Hak asasi adalah perkara dasar atau pokok yang boleh dilakukan atau dikuasai oleh seseorang kanak-kanak mengikut undang-undang, agama, adat istiadat dan lain-lain. Ia meliputi hak sebelum dan selepas lahir serta kepentingan hormat kepada nilai-nilai kebudayaan komuniti kanak-kanak. Ini adalah kerana kanak-kanak mudah dipengaruhi, memerlukan jagaan dan perlindungan khasnya daripada keluarga. Kanak-kanak pula ialah seseorang yang berumur di bawah 18 tahun kecuali di bawah undang-undang negara di mana kedewasaan dicapai lebih awal.
Pada pendapat anda adakah Hak Asasi penting dalam menyediakan pendidikan yang sesuai untuk kanak-kanak?
Hak Setiap Kanak-Kanak
  • Untuk dilahirkan, untuk mempunyai nama dan kewarganegaraan;
  • Untuk mempunyai keluarga yang akan menjaga dan menyayangi;
  • Untuk tinggal di dalam komuniti dan persekitaran yang aman dan damai;
  • Untuk mempunyai makanan yang mencukupi dan tubuh badan yang aktif dan sihat;
  • Untuk mendapatkan pendidikan yang baik dan membentuk potensi diri;
  • Untuk diberi peluang untuk bermain dan beriadah;
  • Untuk dilindungi daripada penderaan, eksploitasi, kecuaian, keganasan dan bahaya;
  • Untuk dipertahankan dan diberi bantuan oleh kerajaan;
  • Untuk berupaya mengekspresi pandangan sendiri.
Konvensyen Hak Kanak-kanak yang telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 mengandungi Perkara 1 hingga Perkara 54. Perkara yang berkaitan dengan hak pendidikan perkembangan kanak-kanak terkandung dalam Perkara 6, Perkara 18, Perkara 27, Perkara 28 dan Perkara 29.


PERKARA 6
1. Negara-Negara Pihak mengiktirafkan bahawa tiap-tiap kanak-kanak mempunyai hak sedia ada untuk hidup.
2. Negara-Negara Pihak hendaklah memastikan sebanyak mungkin yang  boleh
kewujudan dan perkembangan kanak-kanak.

Kewujudan dan perkembangan
Tiap-tiap kanak-kanak mempunyai hak sedia ada untuk hidup dan Negara mempunyai obligasi (kewajiban) untuk memastikan kewujudan dan perkembangan kanak-kanak itu.

PERKARA 18
1. Negara-Negara Pihak hendaklah menggunakan usaha terbaik mereka untuk memastikan pengiktirafan prinsip bahawa kedua-dua ibu bapa mempunyai tanggungjawab bersama bagi didikan dan perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, penjaga di sisi undang-undang, mempunyai tanggungjawab utama bagi didikan dan perkembangan kanak-kanak. Kepentingan terbaik kanak-kanak  perlu menjadi perhatian asas.

Tanggungjawab ibu bapa
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama untuk membesarkan anak-anak dan Negara hendaklah menyokong mereka dalam hal ini. Negara hendaklah memberikan bantuan yang sewajarnya kepada ibu bapa dalam pembesaran anak.

2. Bagi maksud menjamin dan menggalakkan hak yang dinyatakan dalam Konvensyen ini, Negara-Negara Pihak hendaklah memberi bantuan yang sewajarnya kepada ibu bapa dan penjaga di sisi undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawab pembesaran anak mereka dan hendaklah memastikan perkembangan institusi, kemudahan dan perkhidmatan bagi jagaan kanak-kanak.

3. Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah yang wajar untuk memastikan bahawa kanak-kanak kepada ibu bapa yang bekerja berhak mendapat faedah daripada perkhidmatan dan kemudahan jagaan anak yang mereka layak.

PERKARA 27
1. Negara-Negara Pihak mengiktiraf hak tiap-tiap kanak-kanak kepada taraf hidup yang mencukupi bagi perkembangan fizikal, mental, kerohanian, moral dan sosial kanak-kanak itu.

Taraf hidup
Tiap-tiap kanak-kanak mempunyai hak pada taraf hidup yang mencukupi bagi perkembangan fizikal, mental, rohani, moral dan pembangunan sosial. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama untuk memastikan bahawa kanak-kanak mempunyai taraf hidup yang mencukupi. Kewajipan Negara ialah untuk memastikan bahawa tanggungjawab ini boleh dilaksanakan. Tanggungjawab Negara boleh termasuk bantuan material kepada ibu bapa dan anak-anak mereka.

2. Ibu bapa (ibu bapa-ibu bapa) atau orang lain yang bertanggungjawab bagi kanak-kanak itu mempunyai tanggungjawab utama untuk menjamin, mengikut kebolehan dan keupayaan kewangan mereka, keadaan hidup yang perlu bagi perkembangan kanak-kanak itu.

3. Negara-Negara Pihak, mengikut keadaan negara dan mengikut kemampuan mereka, hendaklah mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk membantu ibu bapa dan orang lain yang bertanggungjawab bagi kanak-kanak itu untuk melaksanakan hak ini dan hendaklah, jika diperlukan, memperuntukkan bantuan material dan program sokongan, terutamanya berhubungan dengan pemakanan, pakaian dan perumahan.

4. Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk menjamin supaya mendapat kembali nafkah untuk kanak-kanak daripada ibu bapa atau orang lain yang mempunyai tanggungjawab kewangan terhadap kanak-kanak itu, baik dalam Negara Pihak dan dari luar negeri. Secara khususnya, jika orang yang mempunyai tanggungjawab kewangan terhadap kanak-kanak itu tinggal dalam Negara yang berlainan daripada negara kanak-kanak itu, Negara-Negara Pihak hendaklah menggalakkan kesertaan dalam perjanjian atarabangsa atau pembuatan perjanjian sedemikian, serta membuat perkiraan lain yang sewajarnya.

PERKARA 28
1. Negara-Negara Pihak mengiktiraf hak kanak-kanak terhadap pendidikan, dan dengan tujuan untuk mencapai hak ini secara berperingkat-peringkat dan atas dasar peluang yang sama, mereka hendaklah, secara khususnya:

(a) Menjadikan pendidikan rendah diwajibkan dan diadakan secara percuma kepada semua;
(b) Menggalakkan perkembangan pendidikan menengah dalam berbagai bentuk, termasuk pendidikan am dan vokasional, mengadakan pendidikan itu dan terbuka kepada tiap-tiap kanak-kanak, dan mengambil langkah yang sewajarnya seperti memperkenalkan pendidikan percuma dan menawarkan bantuan kewangan jika diperlukan;
(c) Menjadikan pendidkkan tinggi kepada semua atas dasar keupayaan melalui tiap-tiap cara yang sewajarnya;
(d) Menjadikan maklumat pendidikan dan vokasional dan bimbingan diadakan dan terbuka kepada semua kanak-kanak;
(e) Mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan kehadiran secara tetap di sekolah dan mengurangkan kadar keciciran.

Pendidikan
Kanak-kanak mempunyai hak kepada pendidikan, dan kewajipan Negara untuk memastikan bahawa pendidikan utama percuma dan wajib, menggalakkan pendidikan menengah dalam berbagai bentuk yang mudah diperoleh oleh tiap-tiap kanak-kanak dan untuk menjadikan pendidikan tinggi diadakan kepada semua atas dasar keupayaan. Disiplin sekolah hendaklah selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak itu. Negara hendaklah melibatkan diri dalam kerjasama antarabangsa untuk melaksanakan hak ini.
2. Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk memastikan bahawa disiplin sekolah ditadbirkan mengikut cara yang selaras dengan kemuliaan kanak-kanak dan dengan menepati Konvensyen ini.

3. Negara-Negara Pihak hendaklah mempromosikan dan menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam perkara yang berhubungan dengan pendidikan, khususnya dengan tujuan untuk menyumbang kepada pembasmian kejahilan dan buta huruf di seluruh dunia dan memudahkan akses kepada pengetahuan saintifik dan teknik dan kaedah pengajaran yang moden. Dalam hal ini, perhatian yang khusus hendaklah diberikan kepada keperluan negara-negara membangun.

PERKARA 29
1. Negara-Negara Pihak bersetuju bahawa pendidikan kanak-kanak hendaklah dihalatujukan kepada:
Perkembangan personaliti, bakat, dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak pada tahap potensi yang paling tinggi;

Perkembangan rasa hormat bagi hak asasi manusia dan kebebasan asasi, dan bagi prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu;

Perkembangan rasa hormat bagi ibu bapa kanak-kanak, identiti kebudayaan, bahasa dan nilainya sendiri, bagi nilai kebangsaan negara yang diduduki oleh kanak-kanak itu, negara yang daripadanya dia berasal, dan bagi tamadun yang berbeza daripada tamadunnya sendiri;

Penyediaan kanak-kanak bagi hidup yang bertanggungjawab dalam masyarakat yang bebas, dalam semangat persefahaman, keamanan, toleransi, kesamaan jantina, dan persahabatan di kalangan semua orang, kumpulan etnik, kebangsaan dan agama dan orang yang asal usulnya penduduk asli;

AKTA  308 dan Akta 550

Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) merupakan suatu Akta yang digubal bagi mengadakan peruntukan pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Sejauhmanakah Akta Pendidikan 1996, mempengaruhi penubuhan dan perlaksanaan prasekolah di Malaysia?

“Pendidikan Prasekolah” ertinya program pendidikan bagi murid yang berumur dari empat hingga enam tahun.

FASA 15: SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Sistem pendidikan kebangsaan hendaklah terdiri daripada;
(a) Pendidikan prasekolah
(b) Pendidikan rendah
(c) Pendidikan menengah
(d) Pendidikan lepas menengah
(e) Pendidikan tinggi
Tetapi tidak termasuk pendidikan di sekolah ekspatriat atau sekolah antarabangsa.

FASA 20: LARANGAN TERHADAP PENUBUHAN, PENGENDALIAN ATAU PENGURUSAN TADIKA
(1) Tiada tadika boleh ditubuhkan, dikendalikan atau diuruskan melainkan jika tadika itu didaftarkan di bawah akta ini.
(2) Seseorang yang melanggar subsekyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan.

FASA 21: KUASA MENTERI UNTUK MENUBUHKAN TADIKA.
Menteri boleh, tertakluk kepada peruntukan akta ini, menubuhkan dan menyenggarakan tadika.

FASA 22: KURIKULUM PRASEKOLAH KEBANGSAAN HENDAKLAH DIGUNAKAN OLEH
SEMUA TADIKA
(1) Menteri hendaklah menetapkan suatu kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang hendaklah digunakan oleh semua tadika dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.
(2) Kurikulum Prasekolah yang ditetapkan di bawah subseksyen (1) hendaklah menyatakan pengetahuan kemahiran dan nilai yang dijangka akan diperolehi oleh murid-murid pada akhir tempoh Pendidikan Prasekolah masing-masing.
(3) Mana-mana tadika yang bermaksud untuk melaksanakan apa-apa kurikulum sebagai tambahan kepada Kurikulum Prasekolah Kebangsaan hendaklah, sebelum melaksanakan kurikulum tambahan sedemikian, memaklumkan Ketua Pendaftar tentang maksud itu mengikut cara yang ditetapkan.
(4) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) atau (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

FASA 23: BAHASA PENGANTAR DI TADIKA

Walau apa pun subseksyen 17 (1), bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa kebangsaan boleh digunakan sebagai bahasa pengantar di tadika, tetapi jika sesuatu tadika menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan, bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.

FASA 24: KUASA UNTUK MEMBUAT PERATURAN BERHUBUNGAN DENGAN
PENDIDIKAN PRASEKOLAH
Menteri boleh membuat peraturan-peraturan untuk melaksanakan peruntukan bab ini.
Aktiviti 8:
1. Apakah yang terkandung dalam fasa 20, iaitu larangan terhadap penubuhan, pengendalian atau pengurusan tadika?
2. Siapakah yang berhak menetapkan suatu kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan? Apakah denda yang patut dikenakan apabila melanggar kurikulum yang ditetapkan?

Huraikan sejarah awal perkembangan pendidikan prasekolah.
2. Bagaimanakah perkembangan pendidikan prasekolah di Malaysia
secara umum.

1 comment: